Monday, 3 February 2014
#PRKKAJANG !! BETUL KE ANWAR PEJUANG ISLAM? NAK JADI EXCO AGAMA ??
Lawak pulak bila puak Pas pro Anwar bersilat mempertahankan Anwar semata mata mahu melihat Anwar menjatuhkan Khalid Ibrahim.
Kata Khalid Samad, Anwar mungkin dilantik menjadi Exco (paling maksimum) untuk menjaga isu isu nasional seperti isu Agama di Selangor.. Maksudnya Khalid Samad mahu Anwar mengantikan Exco agama sekarang ini(Pas) ..
Masalahnya betul ke Anwar nie seorang pejuang Islam??
Baca tulisan Yahaya Ismail dibawah benar atau tidak Anwar ini seorang pejuang Islam.
Yahaya Ismail – Siapa yang tidak kenal pemimpin berbangsa Melayu, kelahiran Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam, yang kini bergelut, bersilat dan berkuntau dengan kes liwat yang tersohor itu?
Siapakah yang tidak kenal dengan beliau yang pidatonya berapi-api. Bersembur air liur, diselang-seli dengan ayat-ayat Al-Quran dan petikan kata-kata berbau falsafah yang dihumban di khalayak ramai sejak menjadi pemimpin pelajar di kampus Universiti Malaya?
Siapa yang tidak kenal Anwar Ibrahim yang berkelana seluruh dunia mencari teman-teman di kalangan para pemimpin negara-negara asing untuk mendapat sokongan mereka dalam perjuangannya?
Siapa yang tidak kenal dia yang pernah bermukim bertahun-tahun di penjara Sungai Buloh atas tuduhan menyalahgunakan kuasa dan juga meliwat?
Menjelajahi liku-liku perjuangannya yang serba mencabar, penuh dengan kontroversi, dengan ayat-ayat garangnya menyebabkan orang terpukau dan ternganga mendengar ucapannya yang penuh semangat dalam agendanya yang tersirat.
Dengan gayanya yang tersendiri, rewangan tangannya serta tekanan suaranya dalam berbagai nada, orang menganggap bahawa dia adalah pemimpin yang super hebat, super bijak, super handal dan mungkin menganggap dialah bakal Perdana Menteri yang dinanti-nantikan rakyat Malaysia ini!
Barangkali ada yang super taksub menganggap dia sebagai “Mahdi” yang akan menyelamatkan manusia di bumi Malaysia yang bertuah ini!
Sebenarnya dia sungguh bijak bermain dengan kata-kata untuk memukau mereka yang cepat mengagumi seorang penceramah yang pandai membelenggu para pendengar dengan khalayan politiknya. Memang itulah cara terbaik bagi seorang pemimpin politik yang ingin menimba sokongan dari mereka yang tertarik dengan kata-kata bersemangat tapi berbisa pada mereka yang menjadi sasaran kecamannya.
Saya tidak tahu apakah Anwar mengambil kursus pidato dari institusi tertentu seperti Dale Carnegie atau dia tertarik dengan stail tukang jual ubat kuat yang terdapat di kaki lima Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Lorong Haji Taib di masa mudanya.
Secara sinis ada yang berpendapat Anwar kagum dengan stail penjual-penjual ubat di kaki lima yang bijak bermain dengan kata-kata untuk menarik para pendengar membeli ubat kuat super jantan untuk berperang di ranjang.
Mereka yang mengenali Anwar sejak di Kolej Melayu Kuala Kangsar berkata, dia sudah berjinak-jinak belajar berpidato setelah dia terdedah dengan kegiatan persatuan di kolej tersebut terutama dalam persatuan Islam.
Sewaktu belajar di Kolej Melayu yang dianggap sebagai sekolah menengah elit, Anwar menghadapi zaman pancaroba sebagai pelajar yang dikatakan kena buli oleh abang-abang yang digeruni oleh pelajar-pelajar tingkatan bawahan. Dalam kehidupan asrama inilah seorang pelajar akan diuji kesabarannya, kesetiaannya, keakrabannya dengan abang-abang yang lain dalam berbagai aspek kehidupan para lelaki yang mencapai akil baligh.
Anwar tidak kecuali dari kehidupan yang bercampur bau penderitaan dan kesakitan, keseronokan, kenikmatan dan kepasrahan yang mungkin tidak pernah dia lalui di tempat kelahirannya di Cheruk Tok Kun. Inilah asam garam kehidupan yang dilalui Anwar dengan sahabat handainya yang lain.
Kolej Melayu memberi dia peluang menuntut ilmu dan di kolej ini juga dia diuji kematangannya dan kepasrahannya akibat dibuli dan didampingi oleh abang-abangnya di asrama tersebut.
Pada tahun 1993 saya menulis buku “Anwar Ibrahim Antara Nawaitu dan Pesta Boria”. Buku ini banyak mengkritik kepimpinan Anwar setelah menjadi Menteri Kewangan.
Anwar pernah menyuruh orangnya mencari saya dan bawa saya menemuinya.
Dalam pertemuan selama dua jam antara 11.45 malam hingga 1.45 pagi di kediamannya di Bukit Damansara, dia banyak membicarakan hal politik dengan saya dan meminta saya membantunya untuk menentang Ghafar Baba bagi merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Tidak ada kisah nostalgia semasa di Maktab Melayu yang dia bicarakan. Saya juga hairan mengapakah dia memanggil saya hanya untuk bercakap mengenai politik?
Barangkali dia kurang senang dengan kritikan saya terhadap kepimpinannya. Justeru itu, sebagai sahabat lama yang sering makan nasi campur bersama di restoran Amjal di Jalan Pantai Bahru, tentulah dia ingin meminta saya menyokong kepimpinannya dan tidak menerbitkan buku-buku politik yang menyerang kepimpinannya.
Selepas pertemuan empat mata dengan beliau di kediamannya, saya tidak menemui dia lagi.
Tiba-tiba pada tahun 1998 selepas Anwar dipecat dari Kabinet dan UMNO, saya dipanggil Cawangan Khas (Special Branch) ke Bukit Aman. Sejak menjadi penulis buku-buku politik, Cawangan Khas menjadi “peminat” saya yang paling setia.
Ada tiga orang pegawai Cawangan Khas yang mewawancarai saya. Di atas meja ada buku saya, “Anwar Ibrahim Antara Nawaitu dan Pesta Boria”.
Apakah ada pandangan saya dalam buku itu yang tidak disenangi pihak polis? Apakah ada isu yang saya dedahkan itu menyentuh Akta Sensitif? Saya bertanya pada diri saya.
Rupa-rupanya saya dipanggil untuk memberi maklumat mengenai secebis kisah yang dipaparkan dalam buku itu.
Mereka bertanya kepada saya, dari mana saya mendapat maklumat mengatakan Anwar seorang homoseks?
Saya terkejut. Tidak ada dalam buku saya menyatakan dia homoseks. Walaupun saya tidak menyatakan secara terus-terang, namun apa yang tersirat dari kehidupan Anwar di Kolej Melayu dianggap mereka, Anwar seorang homoseks!
Mereka mendesak saya mendedahkan orang yang memberi maklumat mengenai hal itu. Mereka tidak memaksa saya kerana mereka boleh mendapat maklumat yang lebih terperinci dari berbagai sumber yang lain.
Sebagai pegawai-pegawai Cawangan Khas, tentulah mereka lebih mudah mendapat rahsia skandal Anwar.
Saya pernah berbincang dengan Tan Sri Megat Junid (Allahyarham) mengenai Anwar. Sewaktu beliau menjadi Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri, pihak keselamatan Malaysia telah diberi maklumat oleh CIA bahawa Anwar seorang homoseks!
Maklumat ini diperolehi Malaysia pada tahun 1993, sama tahun buku saya “Anwar Ibrahim Antara Nawaitu dan Pesta Boria” diterbitkan! Maka jelaslah kepada saya di Bukit Aman untuk mendapatkan sumber maklumat saya itu!
Saya memperolehi hal tersebut melalui beberapa orang bekas pelajar Kolej Melayu yang mengenali Anwar dari dekat. Oleh kerana skandal itu didedahkan oleh mereka yang sama-sama belajar di Kolej Melayu, maka saya tidak berani menyatakan secara terang-terangan minat Anwar tersebut dalam buku saya.
Saya masih sangsi mengenai skandal itu pada waktu itu. Apabila didedahkan oleh Bukit Aman mengenai selera seks Anwar, dapatlah saya membuat kesimpulan bahawa apa yang didedahkan oleh beberapa orang bekas pelajar Kolej Melayu mengenai Anwar adalah benar.
Mereka yang pernah tinggal di sekolah berasrama, lelaki atau pun perempuan, mengakui ujudnya hubungan lesbian dan homoseks di kalangan mereka.
Namun, kebanyakan yang mencari kepuasan seks sejenis akan meninggalkan tabiat itu setelah keluar asrama dan masuk ke kampus. Malah banyak peminat seks sejenis, menganggap hobi tersebut hanya sebagai pengalaman seks di asrama sewaktu menempuh zaman remaja sahaja!
Apa yang mengejutkan saya, ada seorang pensyarah dari pusat pengajian tinggi memberitahu saya dalam suatu seminar sastera di Shah Alam, bahawa seorang teman pensyarah dalam jabatannya melondeh rahsia bahawa dia mempunyai hubungan intim dengan Anwar. Pensyarah ini seorang lelaki!
Kononnya dia diberi pink form untuk mendapat saham dari Kementerian Kewangan pada waktu Anwar menjadi menterinya. Kononnya Anwar membantu dia dalam bidang pementasan drama.
Kononnya Anwar juga seorang peminat drama! Saya tidak tahu drama jenis apa yang Anwar berminat dan apakah dia juga berhasrat menjadi pelakon drama pada suatu hari nanti? Saya tidak tahu.
Pensyarah tersebut memberikan nama Mr X kepada saya sekiranya saya ingin interbiu sahabat karib Anwar tersebut.
Saya hubungi sahabat saya yang juga menjadi sahabat karib Anwar. Dia juga orang ABIM dan pernah bersama Anwar di Yayasan Anda.
Saya kata, “Brader, saya tau Anwar ada hubungan intim dengan Mr X yang mengajar di sebuah pengajian tinggi di Shah Alam?”.
Secara spontan dia menjawab, “Mana Pakya tau? Please Pakya jangan heboh-hebohkan perkara ini.” Dari nada suaranya jelas kelihatan dia amat bimbang kalau skandal Anwar merebak di kalangan rakyat.
Sebenarnya saya juga tidak berminat hendak menambahkan bebanan mental Anwar setelah dia dipecat dari Kabinet dan UMNO oleh Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri di waktu itu.
Siapa sangka anak emas kesayangan Mahathir yang disintuklimau bakal menjadi penggantinya tiba-tiba jatuh ditimpa tangga, bintang politik yang gemerlapan menjadi pudar dalam sekelip mata.
Siapa sangka seorang pemimpin muda yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan yang dijulang, dipuja, ditatang dan dicium tangan oleh sesetengah pemimpin dan juak-juak yang super mengampu, tiba-tiba hilang kuasa “kesaktiannya” setelah dinyah dari Kabinet dan parti.
Manusia menjadi gagah perkasa, dijulang, dihormati dan digeruni, bila mana dia punya kuasa. Kuasa di tangan seorang pemimpin yang super rakus boleh disalahgunakan untuk memperkukuhkan kedudukan politiknya di kalangan rakyat.
Tapi bila kuasa itu hilang dari tangannya, maka dia akan hilang segala penghormatan dan hanya menjadi manusia pinggiran yang boleh mengaum seperti singa tua yang kehilangan taring dan gigi.
Tapi Anwar bukan sebarang singa tua atau singa sarkis. Dia seperti singa luka yang menerjang angin, menjerit slogan menjulang langit dengan ribuan para penyokong yang melonjak semangat dengan ucapannya seperti naga berapi.
Maka berlakulah reformasi jalanan dengan ribuan manusia, lelaki perempuan, tua muda dan kebanyakannya Melayu, melontar kata-kata nista dan menjerit slogan sambil menyebut nama Anwar dengan harapan lesu beliau akan kembali diterima rakyat sebagai pemimpin tersohor nombor wahid.
Allah Maha Besar dan Maha Berkuasa. Lontarlah segala slogan dan kata-kata sakti mengarak nama Anwar.
Julanglah jasadnya dengan gendang perang demonstrasi menentang kerajaan yang menyingkirkannya dari kekuasaan.
Bawalah segala bomoh, dukun dan pawang darat, pawang laut, udara dan jin tanah, hantu raya dengan segala kabilahnya untuk memperkasakan kehebatan Anwar dengan segala jampi serapah, air liur bercampur merah sirih.
Manusia boleh meminta tapi Allah yang menentukan segalanya.
Mengapakah Anwar yang tersohor dengan ucapannya berapi-api, mata liar, tangan mengenggam azam dan keberaniannya luar biasa masih belum sampai ke Putrajaya, tempat bersemayamnya Perdana Menteri?
Dia terus bersilat dan berkuntau untuk membebaskan diri dan jiwanya dari tuduhan meliwat sejak tahun 1998 hingga sekarang.
Apakah Allah menderanya di atas muka bumi untuk memberi iktibar kepada para pemimpin yang kononnya berjiwa Islam agar jangan berlagak munafik?
Apakah segala mantra dan slogan politik yang terpancut dari mulutnya menjadi kaku dan lesu dan hilang tenaga magisnya bila mana sebahagian besar rakyat sudah bijak menilai siapa Anwar sebenarnya?
Kini banyak orang bertanya siapa Anwar sebenarnya? Apakah dia seorang pejuang Islam nombor wahid atau seorang munafik? Apakah dia seorang patriot yang cinta kasihnya bernafaskan budaya bangsanya dan sanggup hidup mati memperjuangkan hak bangsanya?
Atau apakah dia seorang pengkhianat yang sanggup memperjudikan masa depan negara dan bangsa serta agama untuk menjadi talibarut kuasa asing?
Sesungguhnya Anwar memakai banyak topeng yang beraneka warna untuk menyesuaikan dengan golongan masyarakat dan para pemimpin yang ingin mengenalinya dari dekat. Oleh kerana terlalu banyak topeng yang digemarinya, maka akhirnya dengan kuasa Allah, kini dia sudah melondehkan peribadinya sendiri.
Inilah Anwar dengan segala ketelanjangannya.
Petikan dari buku Yahaya Ismail, “Anwar Ibrahim, pengkhianat Atau Patriot?,” Usaha Teguh Sdn Bhd, 2011.- AIDC
Terkeima dengan ayat pengarang " Bang Non seorang yang penceramah yang membelenggu pendengarnya "...alahai ni la masalah orang melayu khanya...suka dengar ceramah oleh penceramah yang pandai goreng pendengarnya....Banyakkan baca buku dari dengar ceramah...tak kira ceramah politik, ugama dan dll.....Banyak kan baca buku...baca buku supaya elakkan dari kena goreng oleh penceramah...jom ubah banyakkan baca buku dari ceramah...
ReplyDelete