Tuesday, 6 August 2013
TINDAKKAN DRASTIK @PDRMsia !!! TIADA KOMPROMI JIKA OPS SELAMAT GAGAL
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mungkin menguatkuasakan undang-undang serta peraturan jalan raya secara total jika statistik kemalangan maut pada Op Selamat pada kali ini gagal diturunkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan melaksanakan undang-undang jalan raya tanpa kompromi sekiranya cara itu mampu mengubah sikap pengguna jalan raya di negara ini untuk lebih berwaspada ketika memandu.
"Jika sebelum ini kita menggunakan pendekatan nasihat serta budi bicara, namun didapati cara tersebut kurang berkesan untuk mengubah sikap para pemandu.
"Jadi sekiranya Op Selamat pada kali ini gagal menurunkan kadar kemalangan maut serta kematian, jadi PDRM akan gunakan pendekatan penguatkuasaan sepenuhnya," katanya kepada pemberita di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada majlis pemakaian pangkat sembilan ketua polis negeri yang dinaikkan pangkat kepada Senior Deputi Komisioner serta empat ketua polis negeri dan timbalan ketua polis negeri yang dinaikkan pangkat kepada DCP.
Khalid berkata, apabila polis melaksanakan pendekatan penguatkuasaan sepenunhnya itu, orang ramai harus menyokong serta menyambut baik langkah PDRM itu dalam mengurangkan statistik kemalangan maut serta kematian di negara ini.
"Pada masa itu (penguatkuasaan sepenuhnya dilaksanakan) jangan pula ada pihak yang mempertikaikan tindakan polis dengan kata kita tidak berhati perut, minta diskaun saman dan sebagainya. Kita telah bagi kelonggaran sebelum ini, namun sikap pemandu serta penunggang motosikal gagal untuk diubah," katanya.
Beliau berkata, PDRM sentiasa menjalankan kajian serta melihat beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Katanya, untuk rekod pada tahun 2012 kira-kira 6,900 kematian dicatatkan akibat kemalangan jalan raya berbanding kira-kira 6,700 kematian yang dicatatkan pada 2011.
Beliau turut mengingatkan penunggang motosikal supaya lebih berhati-hati di jalan raya kerana golongan tersebut merupakan antara penyumbang tertinggi kepada statistik kemalangan maut serta kematian di negara ini.
Op Selamat bermula 1 Ogos sehingga 18 Ogos, telah mencatatkan 53 kematian setakat hari keempat. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment
hampa nak tulis apa apa pun tulis lah,mtk tak kisah,tapi kalau berbau ugutan korang jawablah sendiri dengan pihak polis ye.pandai pandai hampa la,mtk tak bertangungjawap sepenuhnya atas komen anda