Sunday, 18 August 2013

KEDAH TIDAK AKAN TOLAK ANSUR KEGIATAN RASUAH


Kerajaan Kedah tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan kegiatan rasuah, terutama membabitkan peringkat kerajaan negeri, kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Kerana itulah katanya beliau memulakan usaha mencegah dengan dirinya sendiri apabila tidak membenarkan keluarganya memohon atau terlibat dalam projek peringkat kerajaan negeri.



Jika terbukti ada mana-mana pihak peringkat kerajaan negeri yang terjebak dalam gejala itu dan terbukti benar, tindakan tegas akan diambil, katanya kepada pemberita selepas majlis hari raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam, di sini hari ini.

"Khususnya di peringkat Exco. Mereka pegang jawatan eksekutif. Mahu tak mahu mereka terdedah kepada tanggungjawab membuat keputusan. Setiap satu keputusan perlu dibuat dengan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dahulu.

"Tak patut timbul sebarang keraguan. Apa matlamat ? Ada tak sifat pilih kasih dan jaga kepentingan peribadi," kata Mukhriz yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam.

Beliau juga menjelaskan tindakannya membuat penegasan berhubung pendirian kerajaan negeri itu kerana isu integriti sering kali dikaitkan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Tujuannya semata-mata nak timbulkan rasa marah kepada kerajaan pusat dan BN, dan mungkin selepas ini kepada kerajaan negeri Kedah. (Kerana) itu saya ambil pendekatan menjelaskan kepada semua pihak (mengenai pendirian kami)," katanya.

Baru-baru ini, Mukhriz pada satu sidang media sempena 100 hari sebagai Menteri Besar Kedah memberi jaminan beliau tidak akan memberi projek perniagaan di negeri itu kepada anggota keluarganya.

Langkah itu bagi mengelakkan timbul konflik kepentingan kepada dirinya sebagai ketua kerajaan negeri. - Bernama

No comments:

Post a Comment

hampa nak tulis apa apa pun tulis lah,mtk tak kisah,tapi kalau berbau ugutan korang jawablah sendiri dengan pihak polis ye.pandai pandai hampa la,mtk tak bertangungjawap sepenuhnya atas komen anda