Friday, 8 February 2013
PESAWAT RINGAN TERHEMPAS SEBELAH KONDO
Berpantang maut sebelum ajal!
Demikian nasib seorang juruterbang pelatih Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) yang terselamat dan hanya cedera ringan selepas pesawat ringan dipandunya terhempas di tebing bukit Kondominium Cheng Heights di sini, semalam.
Dalam kejadian berlaku pada jam 11.56 pagi itu, mangsa, P Devenessrao, 20, yang memandu sendirian dikatakan sempat membuat panggilan kecemasan sejurus sebelum pesawat tersebut hilang kawalan lalu terbabas bersebelahan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ).
Sinar Harian difahamkan, mangsa segera keluar melarikan diri sebaik pesawat jenis Piper PA-28 mendarat kerana khuatir ia terbakar sebelum orang awam membantu membawanya ke kawasan lebih selamat, seterusnya dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan lanjut.
Sempat buat panggilan kecemasan
Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shah Gzali Khan berkata, mangsa berasal dari Bahau, Negeri Sembilan yang memandu pesawat bernombor pendaftaran 9M-SKZ itu sedang menjalani latihan penerbangan sebelum kejadian.
“Mangsa berlepas dari akademi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) pada jam 11.15 pagi dan sempat menghubungi menara kawalan dan memaklumkan kecemasan pada jam 11.56 sebelum terhempas di tebing kondominium ini.
“Dalam masa sama, pesawat jenis Cessna milik Unit Udara Polis Diraja Malaysia yang kebetulan hampir mendarat di LTAM diarahkan naik semula untuk meninjau dan cari pesawat dipandu pelatih terbabit,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Shah Gzali berkata, juruterbang pesawat Cessna kemudian menemui pesawat terbabit telah melanggar beberapa pokok sebelum terhempas di atas tebing berhampiran Kondominium Cheng Heights.
“Juruterbang pesawat Cessna berkenaan mengambil gambar keadaan pesawat dan memaklumkan perkara tersebut kepada menara kawalan.
“Mangsa bagaimanapun tidak parah dan dimaklumkan cedera di kepala dan tengkuk. Dia dihantar ke HM untuk rawatan,” katanya.
Menurutnya, pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan melakukan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Bomba terpaksa sembur buih
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Timbalan Penguasa, Yazid Mohd Tahir berkata, seramai 26 anggota dan pegawai bersama empat jentera termasuk satu dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu bergegas ke lokasi sebaik terima panggilan jam 12.01 tengah hari.
“Bomba yang tiba sembilan minit kemudian mendapati sebuah kapal terbang terbabas di tebing. Tiada percikan api dilihat pada kapal terbang yang mempunyai dua tempat duduk itu.
“Bagaimanapun, salah seorang pegawai bomba kami telah beri rawatan awal terhadap mangsa yang disyaki patah anggota kaki dengan membaringkannya di atas pengusung sebelum ambulans tiba,” katanya,
Menurut Yazid, pihaknya terpaksa menyembur buih selepas siasatan awal mendapati terdapat kebocoran pada tangki minyak selain menanggalkan bateri dari pesawat berkenaan.
“Semburan buih dibuat bagi mengelakkan percikan api atau kapal terbang yang berada kira-kira 30 meter dari bangunan kediaman ini terbakar dan kerja-kerja pemeriksaan mengambil masa kira-kira 20 minit.
“Kerja-kerja pencegahan kebakaran turut dilakukan dengan kerjasama kakitangan MFA yang tiba-tiba beberapa minit kemudian,” katanya.
Katanya, bagi mengelakkan pesawat itu menggelongsor ke bawah tebing, pihaknya menahan menggunakan dua tali yang boleh menampung berat sehingga 13,000 kilogram dengan mengikatnya pada tembok pagar kondominium berkenaan.
Pesawat terhuyung-hayang
Sementara itu, salah seorang saksi kejadian, Koperal Zameri Nawi, 50, berkata, dia dapat lihat bagaimana pesawat itu dalam keadaan terhuyung-hayang dan turun naik sebelum merempuh tebing lalu melanggar pokok dalam keadaan melantun-lantun.
Menurut Zameri, dia yang terkejut melihat keadaan itu sebelum kejadian berada di luar pondok polis ketika bertugas sempena Ops Selamat di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini, semalam.
“Cuaca yang agak panas menyebabkan saya berdiri di luar dan tiba-tiba saya melihat sebuah pesawat ringan datang dari arah Alor Gajah menghala Melaka dalam keadaan terhuyung-hayang.
“Pesawat itu kemudian melanggar pokok menyebabkan ada dahan-dahan pokok yang berterbangan sehingga ke seberang jalan,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian melihat seorang lelaki keluar dari pesawat itu sebelum ambulans tiba tidak lama kemudian.
“Saya turut menghubungi bilik kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah memaklumkan kejadian.
“Keadaan jalan raya ketika itu penuh sesak dengan kenderaan dan nasib baik pesawat tidak terhempas di atas jalan,” katanya yang pertama kali melihat pesawat terhempas di depan mata.
Sementara itu, seorang pekerja pembersihan, Suaida Ninglan, 40, berkata, dia yang sedang duduk berehat di taman permainan kondominium itu tergamam melihat pesawat berkenaan tiba-tiba melanggar pokok di hadapannya.
“Saya sebelum itu melihat sayap pesawat itu senget di sebalik celahan pokok sebelum menghampiri tebing lalu melanggar pokok. Saya kemudian berlari ke tepi pagar dan lihat seorang lelaki terus berlari keluar sebelum dibantu dua lelaki lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment
hampa nak tulis apa apa pun tulis lah,mtk tak kisah,tapi kalau berbau ugutan korang jawablah sendiri dengan pihak polis ye.pandai pandai hampa la,mtk tak bertangungjawap sepenuhnya atas komen anda