Wednesday, 14 November 2012

@Tunfaisal - Anwar Amal Nepotisme, Ahli Berpaling Tadah




Hilangnya kepercayaan terhadap dasar perjuangan parti dan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah faktor utama beberapa orang kanan beliau mengundurkan diri dari PKR.

Malah amalan nepotisme dalam parti berkenaan turut mengundang ketidakpuasan hati sesetengah ahli, kata Exco Pergerakan Pemuda Umno, Tun Faisal Ismail Aziz.

"Jadi bermula Dr Chandra Muzaffar seorang intelek, yang saya percaya sudah kehilangan kepercayaan dan akhirnya sampailah saudara Ezam sehinggalah rakan-rakan yang terbaru semua adalah disebabkan oleh kehilangan kepercayaan, krisis keyakinan terhadap kepimpinan yang tertinggi iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel wacana Meja Bulat Antarapos, di sini, baru-baru ini yang membincangkan topik 'Kebangsawanan Satu Warisan'.

Wacana tersebut turut menampilkan dua panel lain iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie dan penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA, Prof Madya Dr Shaharudin Badarudin.



Setakat ini, tidak kurang 100 individu, termasuk ahli parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan sekutu rapat yang meninggalkan Anwar dan perjuangan parti PKR kerana kecewa.

Antara mereka termasuk beberapa wakil rakyat PKR seperti Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Datuk Zulkifli Nordin, Tan Tee Beng, Mohsin Fadzli Samsuri, Badrul Hisham Abdullah, V Arumugam dan ramai lagi.

Perjuangan PKR diragui ahli

Tun Faisal berkata, soal kasih sayang kerana meninggalkan Anwar dan PKR tidak timbul tetapi beliau melihat krisis keyakinan lebih mendatangkan kesan terhadap parti berkenaan.

"Sebab daripada Chandra Muzaffar sampai sekarang begitu ramai yang kehilangan kasih-sayang. Tapi sebenarnya saya percaya ia bukan kasih sayang semata-mata. Ia adalah krisis keyakinan, makin lama makin orang tak percaya.

"Sebab kalau kita tengok Ezam, dia memang disayangi (Anwar), sewaktu di Institut Kajian Dasar, saya tahu Ezam ni orang nombor dua di Institut Kajian Dasar, memang disayangi selepas Kamaruddin Jaafar, tapi kenapa Ezam jadi macam tu?" soalnya.

Beliau berkata individu berkenaan meninggalkan parti kerana mereka sudah hilang kepercayaan dengan perjuangan sebenar PKR dan mula hilang rasa hormat terhadap Anwar.

Hakikatnya kata beliau, perjuangan PKR diragui bagi indidvidu-individu ini dan kelihatan tidak jelas serta bercampur dengan agenda-agenda tersendiri termasuk untuk memenuhi nafsu Anwar.

Dibandingkan dengan perjuangan Umno, Tun Faisal berkata parti itu jelas memperjuangkan soal agama, bangsa dan negara.

"Kita tengok orang yang keluar macam Saudara Ezam, dia bercakap tentang perjuangan Melayu, perjuangan Islam yang sudah ditinggalkan oleh PKR.

"Waktu saya di IKD dia cakap macam tu, jadi mungkin waktu di PKR dia lupa, sebab terlalu disayangi, jadi bila dia masuk semula Umno, 'allignment' dia betul balik, jadi mudah-mudahan kalau dia dekat dengan Umno semula perjuangan agama, bangsa dan negara itu kembali tersemat pada hati," katanya.

Nepotisme benam idealisme

Mengupas mengenai masalah yang juga menjadi punca kepada pengunduran oleh indvidu-individu berkenaan daripada PKR, Tun Faisal berkata, Anwar juga jelas dilihat mendahulukan indidvidu-individu yang merupakan orang kesayangan beliau.

Mereka seperti isteri beliau, Dr Wan Azizah Ismail yang merupakan Presiden PKR, anak mereka Nurul Izzah sebagai Naib Presiden dan lelaki kesayangan Anwar iaitu Azmin Ali yang memegang jawatan Timbalan Presiden.

Sejajar dengan topik yang dibincangkan dalam wacana Meja Bulat baru-baru ini, Tun Faisal turut menjelaskan bahawa amalan nepotisme dan kronisme tidak patut diserapkan dalam budaya politik negara ini.

"Kalau kata ini berterusan, walaupun di peringkat bahagian dan cawangan, ini sebenarnya (membawa) kerosakan kepada parti politik tersebut, sebab idealisme, perjuangan, gerak kerja, kemahiran tidak akan didedahkan kepada lebih ramai orang.

"Dan ini akhirnya akan merosakkan parti pada jangka masa panjang," katanya.

Tun Faisal yang juga Pengerusi Unit Media Baru Umno turut menyelar amalan PKR yang mementingkan hubungan kekeluargaan dan menyebabkan peluang orang yang lebih berbakat dan berpotensi untuk berkhidmat tersekat.

Katanya, tindakan berkenaan hanya menampilkan kelompok tertentu yang akan menguasai kepimpinan, kuasa dan sebagainya.

SUMBER ANTARAPOS

No comments:

Post a Comment

hampa nak tulis apa apa pun tulis lah,mtk tak kisah,tapi kalau berbau ugutan korang jawablah sendiri dengan pihak polis ye.pandai pandai hampa la,mtk tak bertangungjawap sepenuhnya atas komen anda