hiasan |
KLANG – Polis menahan seorang wanita yang disyaki menyembunyikan kelahiran dalam kejadian di sebuah rumah di Batu 5, Jalan Meru, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Shukor Sulong berkata kejadian itu disedari kakak suspek yang tinggal serumah dengan wanita berusia 24 tahun tersebut, selepas curiga dengan tingkah laku adiknya.
“Kakaknya yang berusia 27 tahun kemudian masuk ke bilik adiknya dan menemui mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat di atas tilam tengah hari tadi. Dia kemudian membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi di sini.
Siasatan awal polis mendapati bayi berkenaan lahir mati, katanya.
Menurutnya wanita yang bekerja sebagai jurujual itu dipercayai melahirkan bayi tersebut pukul 4 petang semalam.
“Polis turut menemui tali pusat bayi itu di dalam sebuah beg plastik dan kita percaya suspek bertindak memotong sendiri tali pusat itu selepas melahirkannya,” katanya.
Menurut Mohd Shukor, soal siasat ke atas suspek mendapati bapa bayi itu adalah warga Bangladesh yang telah pulang ke negara asalnya pada Mac lepas.
“Wanita itu dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah untuk menerima rawatan. Dia akan didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran bayi,” katanya.
Menurutnya jika sabit kesalahan, wanita itu boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – Bernama
No comments:
Post a Comment
hampa nak tulis apa apa pun tulis lah,mtk tak kisah,tapi kalau berbau ugutan korang jawablah sendiri dengan pihak polis ye.pandai pandai hampa la,mtk tak bertangungjawap sepenuhnya atas komen anda