Tuesday, 28 August 2012
PRU 13 !!! KEJUTAN BESAR DALAM PARLIMEN ALOR STAR ?
ALOR SETAR - Dijangkakan banyak kejutan bakal mewarnai kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bakar Bata dan Alor Mengkudu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), berbanding Dun Kota Darul Aman dan kerusi Parlimen Alor Setar, yang dikatakan tidak banyak perubahan.
Bukan sahaja daripada pemilihan calon bertanding parti-parti terlibat, malah saingan sengit digembar-gemburkan akan berlaku di Dun Bakar Bata, yang menampilkan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah manakala Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah yang juga Exco Kerajaan Negeri, Dr Ismail Salleh di Dun Alor Mengkudu.
Ini kerana masing-masing perlu mengekalkan kemenangan untuk terus kekal ‘berkuasa’ secara bermaruah, jika tewas, bagaimana nasib kedua-duanya selepas keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Keputusan PRU12 lalu, menyaksikan BN dan PR, sama gagah dan sama kuat, ekoran BN kekal pada kedudukan selesa memenangi kerusi Parlimen Alor Setar dan Dun Bakar Bata, manakala PR menawan Dun Alor Mengkudu dan Kota Darul Aman.
Namun sebarang kemungkinan boleh berlaku pada PRU13. Tidak mustahil keputusan kelak mengejutkan banyak pihak, ekoran sokongan rakyat kini dilihat tidak lagi sama ketika tahun 2008.
Bagi Parlimen Alor Setar, kemungkinan sudah ramai meramalkan ia kekal milik BN, sekiranya Datuk Chor Chee Heung terus diberi kepercayaan sebagai calon. Ini kerana beliau amat disenangi masyarakat pelbagai kaum di kawasannya, selain mendapat sokongan padu akar umbi.
Bagaimana pun, ada desas desus mengatakan Chee Heung berhasrat mengundur diri ekoran dikatakan tidak sebulu dengan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek. Ini bermakna Chee Heung terpaksa berkorban untuk terus kekal sebagai calon bagi pastikan kerusi itu tetap milik BN.
Tambahan pula, tiada pengganti yang layak menggantikan tempat Chee Heung, yang diyakini calon boleh menang.
PKR pula dijangka terus memberi kepercayaan kepada calon PRU12, Gooi Hsiao Leung bertanding sekali lagi, berikutan prestasi cemerlang pada PRU lalu yang hanya tewas tipis pada Chee Heung. Difahamkan, peguam muda ini antara pemimpin PKR berwibawa dan mendapat sokongan akar umbi.
Pada PRU12, Chee Heung (BN-MCA) menang dengan majoriti 184 undi, (20,741) menewaskan Hsiao Leung (PKR) yang memperoleh 20,557 undi.
Sumber berkata, kali ini dijangkakan berlaku tiga penjuru di Dun Bakar Bata, selain calon BN dan PKR, calon Bebas dikatakan berminat bertanding di situ, namun tidak dapat dipastikan sama ada ianya calon daripada parti Kita atau wakil rakyat Bebas yang juga bekas wakil rakyat PKR.
BN meneruskan tradisi mengekalkan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang menang majoriti 358 undi menewaskan, Rohani Bakar (PKR) 7874 undi pada PRU12.
Ura-ura mengatakan kerusi ini menjadi rebutan antara PKR dan Pas, di mana sebelum ini Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Alor Setar, Zulkifli Yahya mencadangkan agar kuota diberikan semula kepada calon Pas sekiranya PR mahu merampas Dun Bakar Bata. Nama Dr Ismail Salleh disebut-sebut untuk bersemuka dengan Ahmad Bashah, buat kali kedua selepas PRU11 (2004), di mana Ahmad Bashah menang (11,091) menewaskan Ismail (5,054).
Bagaimanapun nama calon PKR sebelum ini, Rohani dikatakan tidak disenaraikan semula, sebaliknya dua muka baru, Bendahari PKR Kedah yang juga Timbalan Ketua Cabang I PKR Alor Setar, Che Mat Dzahir Ahmad dan Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Eekmal Ahmad antara nama disebut-sebut sebagai calon.
Difahamkan, akar umbi mahukan pemimpin setempat mewakili kawasan itu, berbanding orang luar kerana mahukan wakil rakyat yang sentiasa turun padang mendengar permasalahan rakyat.
Kerusi panas Pas
Bagi Dun Alor Mengkudu, dijangkakan laluan mudah bagi Pas untuk kekalkan kerusi ekoran bakal mengetengahkan calon ‘bersih’ dan berwibawa. Pas kemungkinan besar meletakkan muka baru menggantikan Dr Ismail Salleh untuk bertanding di situ, gara-gara krisis Exco menyebabkan akar umbi menolak kepimpinan Ismail.
Namun tidak pasti sama ada Ismail akan dicalonkan di kawasan lain atau langsung tidak tersenarai sebagai calon. Ia umpama memilih calon paling layak dan boleh menang bagi mengisi kerusi panas ini.
Ketua Pemuda Pas, Ahmad Yahya dicanang bakal bertanding di Dun Alor Mengkudu untuk memastikan tidak wujud undi protes, sekaligus mengekalkan kemenangan. Sebelum ini, pada 2004, Pas mencalonkan Mohamad Sabu namun tewas pada Fadzil Hanafi.
Lain pula dengan calon BN yang dikatakan akan berlaku perubahan besar, apabila calon sebelum ini, Mazlan Abd Rahman dikatakan tidak dicalonkan semula. Kemungkinan besar tempat itu diisi Ketua Wanita Umno Bahagian Alor Setar, Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah atau Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Guntor Tobeng Mansor Tobeng.
Difahamkan, agak sukar untuk memilih calon paling sesuai di Dun Alor Mengkudu, walaupun ada ura-ura mengatakan akar umbi mahukan anak tempatan bertanding, iaitu bekas Exco Agama, Fadzil Hanafi.
Tidak mustahil jika Fadzil dicalonkan semula, peluang BN menang lebih cerah memandangkan pengundi di situ mahukan pemimpin yang berlatar belakangkan agama dan personaliti menarik. Walaupun pengaruh Pas agak kuat di sini, namun penentu kemenangan juga tertakluk pada siapa calon BN kali ini.
Dun Kota Darul Aman kini lebih sinonim dengan DAP, malah pengaruh parti itu semakin menular di sekitar kawasan ini, termasuk mendapat sokongan orang Melayu. Seperti lazimnya, semua dapat meneka siapakah calon DAP yang diketengahkan.
Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik dijangka dapat mengekalkan kerusi empuknya sekali lagi pada PRU13.
Pada PRU12, Guan Aik menewaskan Datuk Chong Itt Chew, yang juga Pengerusi MCA Kedah dengan majoriti 804 undi. Bagaimana pun pada PRU13, Itt Chew sudah awal-awal lagi mengumumkan pengunduran dirinya sebagai calon, atas faktor usia selain mahu memberi peluang kepada muka baru.
Setakat ini, belum pasti siapa calon layak menggantikan tempat Itt Chew untuk bersemuka dengan Guan Aik, yang pastinya calon itu perlu sehebat penyandangnya untuk merampas semula kerusi itu yang sebelum ini milik MCA.
Sehingga kini, belum ada pemimpin MCA yang benar-benar menonjol untuk diketengahkan, dan besar kemungkinan MCA mempertaruhkan calon muda atau muka baru. Pada era 80-an, Dun Kota Darul Aman merupakan kubu kuat MCA, dan parti itu tidak pernah kalah sehingga tahun 2008.
Namun kini pengaruh MCA dilihat semakin pudar, menyebabkan DAP berjaya mengambil alih sokongan rakyat apabila wakil rakyat DAP diterima baik oleh pengundi, termasuk Melayu.
Sebarang kemungkinan boleh berlaku jika MCA berjaya mengetengahkan calon disukai rakyat dan berpengaruh dalam usaha mengembalikan sokongan pengundi terutama dari kalangan masyarakat Cina.
INFO
Kerusi P9 (Alor Setar)
Gooi Hsiao Leung (PKR): 20,557
Chor Chee Heung (BN): 20,741
Jumlah pemilih: 58,957
Peratusan pengundi: 3.28 peratus
Majoriti: 184
Kerusi N12 (Bakar Bata)
Ahmad Bashah Md Hanipah (BN): 8,232
Rohani Bakar (PKR): 7,874
Jumlah pemilih: 22,695
Peratusan pengundi: 72.24 peratus
Majoriti: 358
Kerusi N13 (Kota Darul Aman)
Lee Guan Aik (DAP): 5,415
Chong Itt Chew (BN): 4,611
Jumlah pemilih: 15,087
Peratusan pengundi: 68.64 peratus
Majoriti: 804
Kerusi N14 (Alor Mengkudu)
Ismail Salleh (Pas): 9,208
Mazlan Abdul Rahman (BN): 6,961
Jumlah pemilih: 21,175
Peratusan pengundi: 77.73 peratus
Majoriti: 2,247
SINAR
No comments:
Post a Comment
hampa nak tulis apa apa pun tulis lah,mtk tak kisah,tapi kalau berbau ugutan korang jawablah sendiri dengan pihak polis ye.pandai pandai hampa la,mtk tak bertangungjawap sepenuhnya atas komen anda