Monday, 7 May 2012

SIKAP KUKU BESI KERAJAAN PAP SINGAPURA TERHADAP MEDIA



kerajaan PAP di Singapura masih mengamalkan undang-undang kuku besi terhadap media. Organisasi media berfahaman politik berbeza mendepani tindakan undang-undang hingga muflis. Tujuannya untuk menyekat pandangan kedua yang dianggap menentang kerajaan. Media dinaungi parti pembangkang Singapura dikenakan tindakan undang-undang hingga terpaksa memberhentikan operasi.

Hal seperti ini tidak dilakukan oleh kerajaan Malaysia. Banyak organisasi media yang berfahaman politik bertentangan kerajaan tetapi tidak dikenakan tindakan undang-undang. Kerajaan mengambil pendekatan menjawab segala tuduhan yang ditimbulkan termasuk laporan media asing.


Ada media tempatan melaporkan kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaludin bahawa panglima-panglima tentera diarah merampas kuasa sekiranya pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum 13. Tetapi kerajaan tidak mengambil tindakan undang-undang sekalipun hingga kini Nizar masih gagal memberi nama panglima-panglima itu sebagai bukti.

Tindakan menyaman media adalah menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat. Ironinya bagi sesetengah orang politik, kepentingan rakyat dibelakangkan dan politik didahulukan. Maka berlakulah fenomena di mana media menjadi sasaran saman oleh orang politik.

Media berfahaman politik berbeza dengan kerajaan bukanlah luar biasa. Di Amerika Syarikat (AS) atau Britain misalnya mempunyai media yang menyokong dan menentang kerajaan. Tetapi terlalu kecil kes orang politik menyaman media kerana perbezaan itu.

Ada organisasi media condong kepada Republikan dan ada yang condong kepada Demokrat. Ini bukanlah rahsia lagi dan laporan negatif tentang tokoh-tokoh dalam kedua-dua parti ini adalah perkara biasa. Walaupun hentaman atau kritikan keras itu ditujukan kepada tokoh politik, tetapi tidak ada tindakan undang-undang kepada media berkenaan.

Menyaman media adalah tindakan bacul. Ia bertujuan menutup mulut wartawan daripada terus mempersoalkan isu yang berkait kepentingan rakyat. Orang politik di AS atau Britain mengambil pendekatan menjawab segala tuduhan media yang dianggap tidak benar mengenai dirinya. Malah Presiden Obama sendiri banyak menerima tuduhan buruk oleh media yang menyokong Republikan dan Obama menjawabnya.

Dalam konteks sosio-politik masa kini, media hanya melontarkan persoalan dan membuka dimensi baru untuk rakyat melihatnya. Persoalan itu membuatkan rakyat berfikir dan merekalah yang membuat justifikasi yang hasilnya ditunjukkan dalam pilihan raya. Maka tindakan yang bijak adalah menjawab persoalan yang dibangkit bukannya menyaman.

Dalam budaya Melayu ada disebut bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru. Tindakan positif ialah mengaku memang ada bangkai gajah dan berilah hujah munasabah yang mewajarkan ia berada di situ. Apabila ada yang menyoal perlulah ada pihak menjawab.

Secara teorinya media dianggap sebagai kuasa keempat negara selain legistatif, eksekutif dan judisiari. Maka secara teori juga kedudukan sebagai kuasa keempat itu boleh dimanfaatkan secara de facto tanpa kongkongan undang-undang. Tetapi hakikatnya di negara ini, media tidak diletakkan setaraf dengan tiga kuasa negara tadi. Sebab itulah pihak yang memperjuangkan kebebasan media, pihak sama juga mengambil tindakan saman. Media bertanggungjawab tidak takut disaman dan disitu terserlah sikap mereka yang mengekang kebebasan media.

Perbezaan fahaman politik antara organisasi media dan orang politik tidak sewajarnya disekat dengan tindakan undang-undang. Langkah terbaik ialah tampil dengan hujah-hujah bernas untuk menangkis laporan yang dianggap tidak benar. Ini sudah lama diamalkan dalam politik di AS dan Britain. Sebab itu di AS dan Britain walaupun wujud parti pembangkang tetapi hampir tidak ada yang mengambil tindakan saman terhadap media. Bagi mereka menyaman media tindakan yang memalukan.

Di negara jiran seperti Indonesia, selepas kejatuhan diktator Suharto dan kewujudan Dewan Pers (Majlis Media), kes-kes yang dikategorikan sebagai melanggar kod etika diselesaikan di peringkat Dewan Pers. Di Malaysia sudah dicadangkan sebuah majlis media. Ia dianggotai oleh panel bebas seperti Suruhanjaya Aduan Akhbar (PCC) di Britain. Dalam konteks tempatan, panelnya seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang bebas politik dan tiada campur tangan kerajaan.

Secara teorinya, segala ketidakpuasan hati orang politik yang dikritik boleh dikemukakan kepada majlis media ini. Walaupun majlis media tidak mempunyai kuasa undang-undang tetapi mempunyai kuasa berunding untuk mendapatkan keadilan. Kalau benar ada pihak teraniaya, majlis media akan mengarahkan membuat pembetulan. Ini penting untuk melahirkan kewartawanan beretika tinggi dan mempertahankan kebebasan media.

Tetapi dalam konteks negara ini di mana wujud pihak mengamalkan "politik sengkek" yang mempertikaikan suruhanjaya bebas seperti SPRM, adakah mereka akan menerima "penghakiman" majlis media yang tidak menyebelahi mereka? Mereka bukan mahukan keadilan. Mereka hanya mahu mengugut dan mengongkong media dengan tindakan saman. Itu helah yang sebenarnya.

SUMBER RENCANA UTUSAN

No comments:

Post a Comment

hampa nak tulis apa apa pun tulis lah,mtk tak kisah,tapi kalau berbau ugutan korang jawablah sendiri dengan pihak polis ye.pandai pandai hampa la,mtk tak bertangungjawap sepenuhnya atas komen anda