Tuesday, 17 April 2012
Zahra Peluncur Ais Pertama Bertudung Dalam Kejohanan Luncur Ais
DARI padang pasir Rub al Khali ke puncak yang diselubungi salji di Dolomites di Utara Itali, gadis dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) Zahra Lari telah mencipta sejarah dalam sukan luncur ais berbunga pada minggu ini.
Gadis berusia 17 tahun itu bukan sahaja menjadi peluncur ais berbunga (figure skating) pertama dari rantau teluk itu yang bertanding dalam pertandingan antarabangsa tetapi juga yang pertama melakukannya dengan memakai tudung.
“Di negara saya wanita tidak menyertai sukan lagi-lagi luncur ais berbunga,” kata gadis itu memberitahu AFP selepas bersaing bersama dengan peluncur-peluncur dari 50 negara dalam Piala Eropah.
Sebagai seorang yang mengamalkan ajaran Islam, tudung hitam dan pakaiannya yang tidak keterlaluan itu, menonjol di kalangan peserta lain yang memakai pakaian menjolok mata.
“Saya meluncur dengan memakai tudung, kostum saya sejajar dengan tradisi Islam.
“Gadis-gadis lain sangat baik terhadap saya. Saya rasa mereka menerima saya dengan baik. Saya tidak pernah mengalami apa-apa masalah, orang berfikiran terbuka. Ia bukan persoalan mengenai pameran, tetapi mengenai sukan dan bapa saya telah bersetuju,” jelasnya.
Ibu Lari, Roquiya Cochran yang dilahirkan di Amerika, mengaku bahawa ia mengambil masa yang agak lama untuk memujuk suaminya supaya membenarkan anak gadis mereka bertanding.
“Saya terpaksa menyakinkannya. Pada mulanya dia melihat sukan itu seperti anak perempuannya menari di hadapan penonton lelaki.
“Tetapi dia datang bersama untuk melihat Zahra beraksi, dia nampak betapa cantiknya Zahra di atas ais, dan dia sayang Zahra, dia mahu Zahra gembira. Zahra menutup aurat, dia tidak melakukan apa-apa yang anti-Islam,” katanya.
Lari menjelaskan bahawa minatnya terhadap sukan luncur ais berputik ketika dia menonton sebuah filem Disney pada umur 11 tahun.
“Saya telah menonton The Ice Princess lebih dari 100 kali, saya sukakannya! Saya berkata kepada diri sendiri ‘Itu yang saya mahu lakukan’,” katanya.
Tiga tahun kemudian Zahra memulakan impiannya ketika dia memakai kasut luncur pertamanya di Zayed Sports City di Abu Dhabi di mana dia menemui pelatihnya, Noemi Bedo.
“Peluncur harapan selalunya bermula pada usia 3 atau 4 tahun,” jelas Bedo, seorang warga Romania.
Piala Eropah di Canazei tidak mempunyai taraf seperti acara ISU Grand Prix dan Zahra tidak bertanding pada kejohanan remaja dunia pada bulan Februari lepas, walaubagaimanapun Zahra berjaya menduduki tempat dalam 15 teratas.
mynewshub
No comments:
Post a Comment
hampa nak tulis apa apa pun tulis lah,mtk tak kisah,tapi kalau berbau ugutan korang jawablah sendiri dengan pihak polis ye.pandai pandai hampa la,mtk tak bertangungjawap sepenuhnya atas komen anda